Thursday, March 14, 2013

Anak Ulul Albab





Bermimpi di dalam kelas entah kenapa sudah menjadi sebahagian dari rutin hariannya.Jepah atau nama sebenarnya Huzaifah Amanillah selalu berdoa sebelum kelas bermula,semoga satu hari nanti dia dapat jadi Perdana Menteri,atau paling kurang pun Menteri Pelajaran.Setelah habis berdoa,dia terus duduk tegak di mejanya.Matanya antara yang paling fokus sekali memandang papan hitam sehinggalah dia masuk ke dalam papan hitam tersebut dan mengelamun sendiri.

Nombor-nombor dan garis simbol yang cantik halus di papan langsung tidak diendahkan.Otaknya lebih berminat dengan kapur warna putih.Lantas di dalam kepalanya berlaku satu pertembungan idea yang sangat dasyat.Hanya dia sahaja yang tahu,peperangan apa yang sedang meletus sehinggalah,

"Jepah ! ya kamu,silakan apa jawapannya ?"

Dalam tidak sedar ketika peperangan hampir tamat tadi,dia terangkat tangan.Sangkanya dia sedang menjulang bendera pasukannya yang hampir menang,ah rupanya dia di dalam kelas.

"Ia diperbuat daripada batu seremban cikgu!" Gagal juga ke alam realiti.

Semua rakan yang duduk di barisan hadapan berpaling tepat ke mukaku.Mataku berkalih memandang wajah cikgu di hadapan,membuang muka simpati meminta belas kemaafan.Cikgu Salihin menarik nafas dalam sembunyi-sembunyi.Aku dapat rasa dia kecewa,tapi sebagai cikgu, beliau mungkin sedang berfikir apa hukuman yang terbaik untuk aku.

"Cikgu tak nampak apa kaitan cerakinkan nombor 310 dengan batu seremban"  

"Ohh! Ermm.Maaf cikgu,dari tadi saya hanya nampak kapur yang sedang cikgu pegang.Maaf cikgu maaf,saya tak tumpu"

Sebagai seorang cikgu,dia juga tahu bahawa kanak-kanak di usia tujuh lapan tahun mindanya masih aktif mahu meneroka pelbagai benda baru yang disangka ajaib.Dan bagi Huzaifah,mungkin kapur tulis tersebut adalah salah satu daripada benda ajaib.Dia harus bijak mengawal situasi dan juga perkembangan emosi ingin tahu anak tersebut.Sebolehnya dia tidak mahu anak tersebut mati rasa ingin tahu.Biarkan ia tumbuh,itu lah senjata paling ampuh yang Tuhan anugerahkan buat manusia.

"Bagus!Bagus idea kamu tu..cikgu suka" Beliau berhenti sejenak,berpusing menghadap papan hitam dan mengambil kembali kapur tulis tadi.Yes,cikgu tak marah!

"Oke kelas,ada siapa-siapa tahu kapur tulis ni dibuat daripada apa?Siapa tahu,Jepah akan belanja ais krim kacang hijau,kan Jepah..?" Satu kenyitan dihadiahkan padaku.Aku angguk dan tersenyum.Cikgu Salihin ternyata bukan seperti kebanyakan cikgu lain yang suka denda-denda dan marah-marah.

Tiba-tiba semua jadi bingung.Masing-masing panas punggung tidak tahu mahu jawab apa.Sehinggalah seorang murid duduknya paling hadapan mengangkat tangan.Seingat aku namanya Mursyid.Budaknya bijak,kalau tidak nombor satu,nombor dua.Kalau tidak nombor dua,nombor satu.Tidak pernah nombor lebih sepuluh macam aku!Tapi,aku masih bersyukur,sekurangnya masih bawah 20.

"Ya,Mursyid ?"
"Cikgu!Kita tak pernah pun belajar pasal kapur,macam mana nak jawab" Seluruh kelas kemudian senada mengiyakan cakap Mursyid tadi.Muka aku tiba-tiba terasa merah.Entah kenapa.Aku menunggu kata-kata dari cikgu,harapnya cikgu sudi membela.


"Betul Mursyid,cikgu setuju tu" Hati aku tiba-tiba jadi surut,tenggelam ke bahagian paling bawah.Dalam dan makin dalam..

"Tapi,cikgu kan pernah kata dulu; tidak semestinya kalau kita tidak belajar,kita tidak boleh berfikir.Awal pengetahuan ialah berfikir.Betul?Jadi,walaupun kita tak pernah belajar kapur tulis ini diperbuat daripada apa,kita masih boleh...berfikir " Cikgu mengetuk-ngetuk tepi dahinya yang jendul dengan jari telunjuk dua kali.

Cikgu!Sayang cikgu!Aku jerit kuat-kuat dalam hati.Cikgu memang memahami!Sedih terharu.

"Saya fikir kapur tu daripada batu seremban;batu kecik-kecik yang lerai dari jalan tar.Sebab adik perempuan saya lepas main seremban itu hari,dia pernah lukis sesuatu atas simen guna batu itu.Dan warna tulisan tu putih sama macam yang cikgu tulis kat depan" Bersungguh aku cuba jelaskan mengapa jawapan batu seremban boleh terkeluar tadi.

"Mengarut!Saya rasa kan cikgu kapur putih tu daripada ayam.Seperti ayam berak kapur!" Yakin sangat suara Nailah.Terbahak-bahak kami ketawa kerana macam tidak logik.Sepuluh saat kemudian,was-was datang.Entah-entah memang ayam pernah berak keluar kapur.

"Eh,ayam yang nenek kita bela tak berak kapur pun..?" Syaiful mencelah dengan nada separuh yakin dan separuh bertanya.Apek yang duduk di sebelahnya juga mengangguk.Lega,was-was hilang.

Akhirnya satu kelas buntu untuk hampir 15 minit,dan ketika itu Cikgu Salihin masih tersenyum melihat kami sungguh-sungguh mahu menyelesaikan satu soalan yang nyata tiada kaitan dengan nombor.

"Okelah.Nampaknya semua tak tahu.Jadi kita ada dua kerja rumah lah hari ni..." Cikgu sengih nakal.
"Alaaaaaaa......!" Semua merungut tanda tidak bersetuju.
"Yela yela,salah satu.Kamu boleh pilih mana-mana yang kamu nak buat"

Hari itu,Jepah pulang ke rumah dengan muka yang sangat berseri-seri.Sepanjang perjalanan pulangnya di dalam van,otaknya masih lagi berpusing-pusing.Sampai sahaja van di depan rumahnya,Jepah terus lompat keluar.Beg galas petaknya yang agak berat tiba-tiba menjadi ringan.Berlari-lari dia masuk ke rumah,terus menuju surau(tempat keluarganya solat berjemaah).Dia tahu di situ ada papan putih,tempat abah menulis selepas maghrib.

Sejurus berada di dalam surau,mukanya berubah pucat.Dia jadi keliru!Apa yang dilihatnya bukan kapur tulis,tapi marker yang pelbagai warna.Terus dia terbaring di hadapan papan putih bersama beg sekolah yang masih digalas dan stokin yang belum ditanggalkan.Lama dia termenung,dan akhirnya terlena di situ sambil memeluk marker merah,hitam dan biru bersama.

 'Cikgu,kapur ni warna lainnn....' :'(

Bagi Jepah,itu cukup membebankan jiwanya.

Tapi bagi Cikgu Salihin,itu merupakan permulaan yang baik buat anak didiknya.Meski mereka tidak dapat menjawab beberapa soalan matematik,itu jauh lebih baik daripada mereka hanya tahu mengutip jawapan dari buku dan mengiyakan sahaja tanpa berfikir terlebih dahulu.Kerana dunia hari ini jauh lebih menakutkan,di mana-mana sahaja sedang berlaku proses pembodohan,fitnah dan kata dusta.Biarlah mereka membesar lebih dari sekadar apa yang tertulis dalam buku teks.



5 comments:

Anonymous said...

tabik spring, tangan kiri dengan kanan!

-sadis

bawahbumi said...

kritik la sekali cikgu,asyik tabik je :(

pakurawan said...

puisi boleh la try2 nak kritik. cerpen, jangan haraplerr, cikgu.

tepianmuara said...

Biarlah mereka membesar lebih dari sekadar apa yang tertulis dalam buku teks.


=)

bawahbumi said...

And the exam won't let us do that.So sad.Like a prisoner in a book.