Tuesday, October 28, 2014
Cerpen: Anugerah Kanser & Cinta (Emak Aishah)
Semenjak dua ini banyak ayat mak yang diakhiri dengan, 'sebab tu mak ajar akak awal-awal ni, takut mak tak sempat'
Dia merasa pedih setiap kali diulangkan ayat tersebut. Tapi dia tidak pernah memujuk emak dengan ayat-ayat belas seperti 'janganlah-cakap-macam-tu-mak' seperti dalam kebanyakan drama. Sebab dia juga belajar perubatan, dan dia tahu sebenarnya apa yang sedang berlaku pada emaknya sekarang. Bengkak di leher, sakit belakang, sakit tangan, sesak dada. Lymph node, lung, bone metastasis. Tapi dia seperti tidak sanggup untuk menyatakan. Kebenaran memang adakalanya pahit, tapi biarlah, untuk apa kepahitan itu disemai andai waktu sudah mahu menang.
Malam tadi, seperti biasa mak meminta aku mengurut-nngurut tangan kanannya yang sakit dan mengadu sakit dada di tempat bedah empat tahun yang lalu. Sudah sebulan mak begini. Kerana malas untuk berfikir yang tidak-tidak, dia biarkan mindanya kosong.
Diam-diam dia merenung wajah lesu emaknya, ini lah perempuan yang mengandungkan aku, ini lah perempuan yang telah sakit tenat melahirkan aku, ini lah perempuan yang telah mengusung dan menyusukan aku ke mana-mana, jaga setiap kali menangis, tidak tidur malam setiap kali demam. Mana mungkin aku merengek penat, mak dulu tak pernah kenal perkataan penat membesarkan aku! Dia seperti marah dan kecewa dengan diri sendiri bila ada sedikit bisik-bisik penat dan malas.
Setelah lebih kurang lima minit memicit, emak bangun dari pembaringan dan duduk.
"Hah dah lega sikit" Emak mengurut-ngurut perlahan dada kanannya. Nafasnya nampak sedikit teratur.
"Eh, apa kaitan picit tangan dengan dada?" Aneh tak aneh. Memang kalau nak ikut otak sains acah-acah aku ni, agak hairan lah juga.
"Biasalah tu, psikologi. Bila orang urut-urut terasa sihat satu badan. Macam masa mak lahirkan kamu, ada missi India ni baik sangat. Dia lah teman mak sepanjang malam. Abah kamu dekat UK lagi masa tu"
"Oooo, habis siapa azankan akak?" Sama ada Aishah betul-betul tak tahu cerita ini atau dia yang pelupa.
"Atuk. Atuk sempat datang. Pagi besoknya pukul sembilan lahir" Emak memberitahu tenang.
"Patutlah banyak perangai atuk akak ni. Belah mulut pun atuk jugak"
"Haah. Semua atuklah senang cerita"
Mak sambung balik pasal missi india,
"Missi India tu lah yang suruh mak berjalan malam tu. Dia ajar mak cara beranak yang betul dan senang. Pegang kaki, jangan angkat pinggul, tapi naikkan kepala. Macam tengah duduklah seolahnya. Masa lahirkan kamu mak tak kena jahit. Ha, lepas pada tu baru mak rasa senang sikit"
"Oooooo" Melopong Aishah mendengar ilmu baru. Terkejut pun iya.
"Ni mak cakap awal-awal ni, takut masa kamu nanti mak dah tak sempat"
Aishah telan liur, peramkan sekejap rasa sebak yang menginjak-nginjak mahu keluar dari peti suaranya.
"Masa abang dulu mak kena jahit la eh" Suara, jaga suara.
"Haah, masa abang dulu mak tak reti lagi. Misi dekat Ipoh tu pun tak reti agaknya. Mujur masa kamu mak dapat misi baik tu" Mak menggeleng-geleng terkenang.
Padahal Aishah sudah tidak boleh berfikir selain ayat 'takut masa kamu nanti mak dah tak sempat'.
Selepas habis bersembang, dia masuk ke biliknya dan mengunci pintu. Dia berdiri di depan cermin, melihat sosok wajanya yang ada mirip-mirip mak. Dia tersenyum. Matanya bertakung jernih, tidak berhenti mengalir. Diseka dengan belakang tangannya kasar-kasar.
Hampir lima tahun mak berlawan dengan tubuhnya sendiri, berkejar dengan masa, berperang dengan pilihan-pilihan berkaitan hidup mati. Dan Aishah seperti sedang berjanji dengan diri sendiri, bahawa dia akan jaga emaknya untuk enam bulan ini.
Aishah sepatutnya sudah boleh memohon jawatan di kerajaan dengan ijazah perubatan yang dia dapat bulan enam yang lalu. Tapi dia tahu, mana mungkin dia akan ada peluang dan ruang begini lagi. Ini lah masanya setelah bertahun-tahun berjauh dengan keluarga.
Duit? Aishah tidak kisahkan duit gaji. Dia ada duit simpanannya sendiri, dengan biasiswa yang dikumpul-kumpul sepanjang enam tahun. Cukuplah buat sementara waktu, bukannya dia mahu belanja apa-apa. Jadi, dia rasa dia belum ada keperluan untuk berkejar dengan kerjaya yang pastinya akan mengongkong waktu dan mengikat kakinya. Keperluannya sekarang berbeza daripada orang lain. Dia melihatnya begitu.
Mindanya berputar-putar tentang seharian, seminggu, sebulan yang telah berlaku. Petang tadi, semasa menemani mak bertemu dengan Ah Choon; seorang peniaga bahan makanan organik yang juga pesakit kanser suatu masa dahulu turut melemparkan kata-kata yang sedikit pedih.
"Tiga bulan ni jaga mak betul-betul. Jangan bagi mak buat kerja. Kita berkejar dengan masa. Tiga bulan ini sangat penting"
Aishah cuma mengangguk-angguk, tidak beriak. Kata-kata Ah Choon terpaku kuat dalam hati sehingga sekarang. Matanya seperti cuba memberitahu sesuatu. Sesuatu yang itu. Aishah memang pendiam, kerana dia berkebolehan pantas membaca mata seseorang.
Malam itu, dia teringin mahu tanyakan soalan ini;
'Mak, apa rasanya menjadi pesakit kanser'
Tapi soalan itu tidak pernah bersedia untuk keluar. Bukan, hati dia yang tidak pernah bersedia untuk menerima jawapan. Dan, soalan itu mungkin tidak perlu pun ditanya, jelas sakitnya bukan. Cuma perlu dikuasakan dengan dua, agaknyalah. Itu sahajalah maksimum imaginasinya. Tapi di sisi yang lain, dia tahu sahaja, beban yang ditanggung emak tidak pernah akan sama dengan imaginasinya. Walau setelah dikuasa gandakan.
Jadi bila Jepah lemparkan kata-kata seperti;
"Aishah, kau ni memang pelik. Perasaan, fikiran, keputusan, perwatakan, semuanya pelik"
Dia tidak pernah salahkan penyoal seperti itu. Kerana dia juga tidak pernah mahu menjelaskan. Kerana jawapannya ada dalam lembar kehidupannya yang telah berusia 23 tahun. Dari mana mahu mula, dengan apa mahu diakhiri, mana mungkin dia ceritakan satu-satu. Jadi, dia lebih selesa menitip muka sendu bersahaja.
Jawapan ringkasnya sekadar berlegar di ruang hati;
'Ya, kerana dari kecil, kehidupan aku memang pelik. Mata hati aku juga sensitif tentang hal-hal yang orang tidak sensitif. Dia berfikir jauh. Jauhhh. Sangat. Jauh itu bukan tentang berapa tahun akan datang. Jauh itu tentang cinta dan kasih sayang. Sebab bukan semua orang tahu apa maknanya memaknai cinta. Bukan juga tentang duit harta, tapi tentang sekuat mana harus mengorbankan hati sendiri'
Ah, ayat-ayat klise seperti ini, hanya yang merasa akan tahu. Yang lain, cuma cakap besar.
Otaknya sudah kebas dicucuk masa hadapan, tentang harapan yang masih tinggal. Dia tidak risaukan masa sekarang, dia sedang menikmatinya. Tapi akan datang. Matanya telah layu dan penat merembes air sejak dari tadi. Dia baringkan tubuhnya di tepi tingkap, langsir ditarik. Menghitung bintang-bintang di langit, berkali-kali. Sehingga dia pun akhirnya terlena, terpujuk sendiri memeluk bintang-bintang cantik di langit.
Tapi Aishah tidak tahu, bukan bintang yang memujuknya. Bukan bulan. Bukan langit. Tapi ada malaikat cinta yang menyelimutinya sehingga subuh.
Ke atasmu cinta, wahai Aishah.
***
Rindunya Aishah pada emaknya sehingga kerinduan itu telah menjadi taman-taman buat Aishah, laman tempat hatinya beradu tatkala dirudung rawan. Bagun dari tidur, entah dari mana ayat ini datang. Seperti dibisik-bisik. Terpisat-pisat matanya mencari pen dan buku catatan.
Kalaupun kanser itu takdirmu,
cinta itu pilihanmu.
Kita tidak perlu menandingi takdir
Tapi menanglah dalam berpilihan.
--Subuh 28/10/2016
Emak Aishah memilih untuk terus mengalirkan cintanya. Selama tujuh tahun bertarung sehingga akhirnya yang bernama takdir itu pun menjemputnya pulang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment