Friday, October 09, 2015
Kelip-kelip kusangka api
"Dah setengah jam dah ni kita macam ni, kita tunggu apa ni?" Aishah menampar nampar kakinya yang digigit nyamuk, sesekali menggosok mukanya yang dah berpeluh. Kedua-dua mereka sedang bercangkung, Jepah di hadapan berlampu suluh, Aishah di belakang.
"Shhhhh" Tiada patah, cuma muncung yang lebih, dan mata yang mengerling tajam.
Ya Allah geramnya. Orang tanya tak jawab pun, lepas tu nak jeling-jeling pulak. Menyesal ikut tadi. Lapar pulak tu, patutnya lepas mengaji rumah hajah tadi dah boleh makan sambal terung, ikan keli goreng dengan nasi panas mak buat. Sedapnya!
"Dah dah, dah keluar!" Jepah menepuk Aishah.
"Hah! Mana mana? Mana dia?" Aishah menggelabah menghincut sedikit dekat di belakang Jepah, mengintai entah apa benda yang keluar, janganlah hantu.
"Kelip kelip!"
Masing-masing mengamati kelip kelip yang terbang perlahan di hadapan mereka. Dua-dua terpegun ternganga tersenyum. Tadi dua ekor sahaja. Sekarang dah ada lima. Seekor sedang menghinggap di hujung lalang panjang, yang lain-lain masih meronda-ronda kawasan. Jepah menutup lampu suluh.
"Wahhhh, banyaknyaaa" Nada Aishah terharu bukan main. Tadi lima, sekarang dah berganda. Jepah tersenyum bangga di sisi. Kalau Aishah nak, setiap hari Jepah boleh bawakkan tahu tak. Yang sebenarnya Jepah macam kagum juga tadi, Aishah ni tak takut ke gelap. Apa yang mak dia ajar sampai dia tak takut hutan dengan gelap macam ni. Tak macam adik dia dekat rumah, baru black-out sikit dah menjerit satu rumah.
"Kau ni Aishah, memang spesis apa hah tak takut gelap. Kot lah ada pacat ke babi hutan ke, tak takut?"
Geleng.
Geleng je? Spesis ni kalau dah tersuka kat sesuatu tu, tak boleh lah kita nak tegur dia sikit. Buat tak layan je.
"Jepah, orang biasa lampu dekat depan kan" Aishah terhairan sendiri.
"Aah"
"Kelip-kelip ni apasal lampu dia kat belakang?" Aishah menggaru-garu tengkuk, sambil memalingkan mukanya yang serius tu betul-betul depan muka Jepah. Terkejut Jepah
Sesaat.
Dua saat.
Cuba tahan.
"HAHAHAHA" Tersembur juga. Jepah tak jadi nak jawab bila tengok muka Aishah. Teruknya!
"Apaa?"
"Tudung tu, dah macam datin dah tersembul rambut macam tu, dah lah senget!"
"Ooo kelakar eh. Habis muka dia hensem lah sangat!" Sambil membetulkan semula letak tudungnya yang dah bersimpang siur, nyamuk punya pasal.
"Mestilah hensem, anak penghulu kot ehem! Baiklah, menjawab persoalan tadi, aku rasa, aku tak ada jawapan dia. Kau?"
Eh. Orang tanya dia, dia tanya kita balik. Apalah dosa aku dah buat sampai dapat kawan macam ni ya Tuhan!
Aishah kembali memerhatikan kelip-kelip. Sekilas pandang macam bintang malam turun ke bumi pula. Cantiknyaaaa! Terlupa dah pada Jepah, nyamuk dan gelap, yang dia rasa cuma ada kelip-kelip dan Tuhan. Eh! Baru Aishah teringat, hari tu dia ada cakap dengan Jepah, yang kalau Jepah berjaya bawak turun bintang ke bawah, masa tu barulah dia akan kahwin dengan Jepah. Alamak! Tiba-tiba rasa macam sesak nafas pula. Eh, tak akan lah. Orang bergurau je masa tu, lagipun, ni kan kelip-kelip, mana pula jadi bintang. Lain!
"Macam bintang kan?" Tiba-tiba Jepah bersuara dari tepi.
Tidakkkkk, dia dengar ke otak aku cakap apa tadi. Rasa macam nak pengsan je ni. Ok, tenang Aishah, tenang.
"Aah kan, huu macam bintang. Tapi kelip-kelip. Itu, kelip-kelip Jepah. Aku rasa aku tahu kenapa cahaya dia dekat belakang supaya manusia pun boleh jadi macam kelip-kelip saling menerang biarpun gelap gelita supaya bila orang-orang gatal kaki macam kita ni tengok nampak cantik dunia akan jadi cantik" Dengan cuma satu nafas, sehabis baik dia cuba menghabiskan ayat yang entah menjawab entah tak.
"Kau merepek apa ni Aishah" Jepah mula mengesan sesuatu. Aishah ni dah kenapa cakap macam keretapi tak ada brek.
Hee. Aishah tersengih. Malu. Segan. Ah entah! "Balik jom, lapar!"
"Ok lah jom. Nah, pegang ni" Jepah menghulur lampu suluh selepas Aishah selesai membuat pendaratan di belakang basikalnya. Jepah mula mengayuh perlahan-lahan, terasa sangat berat berbanding masa datang tadi, seberat hatinya.
Sepanjang perjalanan, dua dua senyap.
Dalam kepala Aishah : Agaknya Jepah cakap macam tu tadi sebab dia ingat ke? Tolonglah tak.
Dalam kepala Jepah : Aishah dah lupa ke? Tolonglah tak.
***
"Weh, kau masuk simpang nak pergi mana ni! Rumah aku depan lagi"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
sedihnye frenzone
farahh
Jepah, jangan khayal. Permainan je semua tuu. Haha
@farahh
Janganla sedih dulu, perjalanan masih panjang, masih ada ruang dan peluang ewah! Kipidap!
@zikri
Berkat kesabaran Jepah, mungkinkah Aishah akan berubah? (Konon2 trailer) Sesungguhnya takdir di tangan penulis haha.
haha..suka suka!!
Post a Comment