Monday, February 08, 2016
Bertemu, semula.
"Aishah, kau lain lah. Tak macam dulu"
Di depannya, Aishah cuma gelak gelak kecil. Mukanya masih bulat seperti dulu, cuma bawah matanya sudah nampak ada warna lebam ungu. Tak pasti kenapa, kuat study mungkin atau boleh jadi juga kuat menangis. Atau kedua-duanya. Gerak gaya juga tak sekeras dahulu. Lebih lembut tapi tak ayu.
"Ye ke? Apa yang lainnya? Aku sama je macam dulu dulu, masih Aishah" Aishah menghabiskan sisa tawanya.
"Entahlah. Perasaan je kot. Mungkin sebab dah lama tak jumpa" Hampir dua tahun tiada khabar berita. Masing-masing belajar jauh, cuti sem pula tak kena. Cuma, kebetulan pula hari ni berjumpa di majlis kenduri sahabat mereka berdua di Nilai.
Jepah juga sudah berubah sebenarnya. Ya, mungkin sebab sudah terlalu lama tak bertemu, cara dia bercakap juga sudah lain. Tak menyakitkan hati. Tak senakal dulu. Dua tahun cuma. Tiba-tiba lelaki di hadapannya terasa seperti seseorang yang baru dia kenal.
"Macam mana Jerman?" Aishah bukan sedang berbasa basi. Dia memang betul-betul nak tahu. Ada rasa rindu. Entahlah rindu cabang yang mana. Rindu sebagai sahabat?
"Ok. Bes. Ok lahh" Jepah ada jawapan panjang, tapi tak terkeluar pula dari kerongkong.
Eh? Pendeknya jawapan. Ingatkan dia nak cerita la fasal Jerman yang dia sanjung tu; asal usul ke, kultur dekat sana ke, orang-orangnya ke.
"Makanan dia camne, bes tak?" Aishah tak berputus asa. Dia mahu Jepah yang dulu, yang banyak cakap, yang tak kekok bila dengannya, yang macam burung pipit suka bersembang itu ini. Tolong Jepah, mana engkau yang dulu?
"Ok. Banyak orang Turki dekat sana. Makanan halal ada je" Jepah senyum manis. Menampakkan deretan giginya yang cantik sebelum mencapai cawan polisterin berisi air sirap sejuk. Meneguk seperti orang yang betul-betul kehausan. Aishah tersengih melihat. Ternampak kelibat Jepah kecil semasa Jepah bersungguh meneguk tadi.
"Kenapa ?"
"Ops. Tak ada pape. Teringat je" Aishah menutup mulut.
Jepah mengangkat keningnya.
Aishah cuma menggeleng, tak mahu berkongsi apa yang berlegar dalam kepalanya.
"Tak ada apa lah. Panasnya hari ni..rasa macam nak terjun dal..."
"Aishahhh..." Serak basah suara Jepah memanggil namanya membuatkan kaki Aishah di dalam kasut berpeluh-peluh di hujung.
"Ya?"
"Akuuu...Sebenarnyaaaa..."
Berkerut-kerut dahi Aishah menunggu patah-patah perkataan Jepah.
"..Sebenarnya nak minta maaf. Aku senyap je dua tahun ni. Masa mak kau meninggal pun, aku tak telefon pun kau"
Muka Aishah berubah sendu. Dia sebenarnya memang sangat sangat terkilan masa tu. Tapi kotak memorinya sungguh tidak muat untuk terlalu memikirkan rasa terkilan tersebut. Dan sebenarnya kalau Jepah tak cakap fasal ni, dia tak ingat pun. Tapi Aishah nak tahu, apa dalam hati Jepah selama ni? Kenapa macam ada sesuatu yang terlekat di dinding hatinya, yang tak dikeluarkan? Kenapa terlalu aneh.
Aishah tak menjawab. Sekadar termenung memandang kanak-kanak yang gembira berlari keliling meja. Para jemputan mula beransur ansur meninggalkan meja makan, ke dalam untuk bergambar kenang-kenangan bersama pengantin.
Entahlah Jepah, dua tahun engkau senyap. Sekarang kau datang balik dengan kata-kata maaf yang langsung tidak masuk akal. Kalau betul aku ni bukan siapa-siapa, kenapa perlu minta maaf?
"Takpe. Dah lama pun"
Telefon bimbit bergetar. Nama Sakinah tertera. Butang hijau tak ditekan, tahu Sakinah mesti ada dekat dekat sahaja. Tadi dia ke sini dengan Sakinah, mestilah sekarang Sakinah mencarinya. Kemudian dia ternampak Sakinah betul-betul di muka pintu masuk rumah pengantin, dengan telefon di telinga kanannya dan tangan yang dilambai lambai. Oh, sesi ambil gambar.
"Er, tak nak masuk? Ambil gambar jom?" Aishah mengajak dengan terkocoh kocoh bangun dari meja makan. Jepah mengangguk dan perlahan-lahan bangun. Perbualan mereka belum selesai, tapi Aishah memang selalu macam tu, tak pernah nak tunjuk perasaan. Dia nak dengar Aishah marah mengamuk dan membebel, itu niatnya tadi, supaya lega hati dia dimarahi. Tapi, Aishah bukan macam tu.
Aishah, kenapa kau tak pernah nak marah?
Sekarang, dia rasa sangat serba salah, hati Aishah sudah berkali-kali dilukai. Dia nampak muka Aishah berubah. Kata maaf memang aneh. Selalu melukakan dalam banyak hal. Dia ke tempat letak kereta, hatinya tidak seronok, terasa mahu balik segera.
Enjin dihidupkan.
'Ah, nombor Aishah lupa nak ambil tadi'
Enjin dimatikan semula.
"Siapa laki yang duduk bersembang dengan kau tadi tu?" Sakinah dengan nada mengusiknya.
"Mana ada. Laki mana pulak"
"Elehhh, dah duduk seronok bersembang, aku panggil nama kau pun tak dengar, macam nak tercabut anak tekak ni"
"Hisy kau ni, kawan lah. Kawan sekolah"
Matanya sibuk mencari kelibat Jepah. Tak ada pun. Alhamdulillah syukurnya nasib baik dia tak masuk sekali tadi. Dah balik agaknya. Tolonglah jangan bagi aku jumpa dengan dia dah Tuhan.
"Aishah" Satu suara garau yang dia mahu tumbuk menembus cerobong telinganya.
Aduh. Ada lagi dia ni. Nak minta maaf lagi ke? Penatlah.
Jepah di hadapan, mengeluarkan telefon bimbit. Mata kami bertiga saling berlanggaran. Sakinah di sebelah sudah mencubit pinggang aku dari belakang.
***
"Aishah, aku tengok dia suka dekat engkaulah. Kenapa kau buat dia macam kawan je?"
"Habis tu, aku nak buat dia macam tak kawan macam mana pulak? Eii, tak fahamlah konsep dia"
"Hahahahaha"
"Apahal gelak macam tu? Pandang depan lah Kinah, karang langgar divider pulak"
Sakinah sambung gelak macam tak ada hari esok.
"Takdelah, kelakar je tengok korang berdua tadi"
"Tak kelakar ok"
Aishah nampak serius betul. Tak tahu lah serius benci ke serius cinta haha. Serius cinta lah kot kan, sampai marah marah macam ni. Muka pun merah je dari tadi sampai sekarang, kalah blusher pengantin.
"Ok ok, meh aku bukak lagu lah"
Sakinah tak habis lagi ketawa. CD album Musim Yang Baik dari kumpulan Sheila On 7 dipasang dan terus ke trek ketujuh. Sama-sama berkaraoke dalam kereta mengahadap jammed. Paling bes, bila korus masing-masing nak feeling lebih tak nak kalah haha. Tapi dia lagi suka lirik dan musik dekat bahagian intro, rasa senang dan ringan je. Untuk ini, seharusnya bang Eross dipuji, lirik ringan tapi luar biasa membahagiakan. Mungkin efek instrumen yang melatarbelakangkan lagu ni. Sedikit cymbal, sedikit drum, sedikit violin, sedikit tamborin, dan gitar. Ah drum memang bes kalau kena cara mainnya, membuatkan aura semangat tiba-tiba muncul. Susunan musiknya memang genius! Tidak berlebihan.
"Apa yang salah dengan lagu iniii
Kenapa kembali kuu-mengingatmu
Seperti aku bisa merasakannn
Getaran jantung dan langkah kakimu
Kemana ini akan membawakuuu~"
"Weh, janganlah over sangat feeling melayang tu. Mamat sebelah gelakkan kau tuuu. Malulahhh akuu. Jangan pandang kiri!"
"Opsss, alaaa dia tengah pandang lagi ke"
"Tak tahu, tak nak tengok dah"
Terima kasih Kinah, lagu ala-ala pop klasik yang chill memang dia suka. Habis lagu, repeat sampai tertidur dekat sebelah, Sakinah dengan tabah memandu seorang diri.
***
Sampai di rumah, sehabis mandi dan solat Asar, Aishah cek notifikasi telefon sekejap. Ada mesej whatsapp masuk. Tak ada nama.
'Aishah, tengok kiri sini' 3.07pm
'Seronok sangat menyanyi tu sampai tak sedar' 3.10pm
'Semoga selamat sampai' 3.10pm
"Kinahhhhh!"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
cerita ni hidup sangat. tolongla akhirnya happy-happy. haha
teringat scene masa kat laut, kugy tanya kenapa bela-belain bawa ke sini, keenan jawab,
"menurut aku, ini laut paling keren aku temukan di jawa barat."
kugy sambung lagi,
"benar, dan aku setuju. tapi aku berhak mengerti jawaban yang sebenar."
(lebih kurang la, movie hilang.)
Keenan, macam lelaki biasa, mengelak dari jawapan.
Mohon Jepah lebih gagah. Ha
Laa yeke, masa tengok scene tu sebenarnya tak tangkap pulak. Sekarang baru faham haha.
Ok Jepah jangan jadi macam Keenan ok. Kita akan lebih berani pantang mundur. Tepuk tepuk bahu Jepah.
Ending dia,hmmmmmmmm sulit sekali.
Post a Comment