Assalamualaikum. Hai untuk diri sendiri yang dah terlalu lama tidak menulis. Hibernating lama betul haha. Ruru dah tidur, jadi mamanya ada sedikit masa untuk ini.
***
Tentang kehidupan.
Kehidupan akan selalu datang dengan pelbagai wajah. Kita yakin kita kuat membawa hati, tapi ada tika tikanya yang kita seperti terhempas jatuh tidak larat. Entah kenapa. Kita tahu kekurangan diri, kita tidak bodoh, kita sedayanya mahu berubah tapi bagaimana?
Kenangan silam juga tidak mahu kalah ingin masuk sama memeriahkan fikiran. Adakala tersenyum mengingatkan, ada kala rasa sebal. Tak pasti, tapi sekurangnya kenangan itu kekal pegun begitu tidak lagi dinamik. Hanya dari kejauhan mendoakan yang baik-baik walau kadang hati selalu tertanya-tanya lagi, apa dan kenapa semua itu terjadi.
Sekarang, hidup perlu dinikmati seadanya. Tidak ada apa yang terlalu euphhorik. Tidaklah juga menyedihkan. Ia terlalu sederhana. Begitu kan realiti, tidak seperti yang kita biasa tonton dalam filem dan drama. Terima kasih untuk hati sendiri, kerana telah terbiasa kekal kental.
Menghitung sehingga detik tamatnya kontrak JPA 10 tahun. Tinggal lagi 3 tahun untuk diusahakan sebaiknya. Mudahan Allah mudahkan semudah-mudahnya dalam jangka masa 3 tahun ini. Cuma mahu habiskan kontrak dan hidup bebas dengan rezeki Allah seadanya. Mudahan Allah cukupkan. Amin, dan mudahan ini lah yang terbaik.
Sepatutnya dalam masa ni, sudah kena rancang nak buat apa selepas resign. Masih lagi berfikir dan berfikir. Tapi masih belum bertemu jawapan. Ikutkan hati, mestilah minat menulis. Tapi apa lah sangat dengan minat tapi tanpa bakat haha hidup tak semudah itu kawan.
Rasanya memang agak pasti untuk resign. Mudahan Allah bagi ilham nak buat sesuatu yang menggembirakan dan juga memberi sedikit pendapatan. Perlahan tapi pasti. Kenapa tak sambung belajar? Ada rasa nak sambung memandangkan memang diri ini minat belajar, tapi untuk menempuh kembali semua momen seperti ujian, viva, tambahan dah kahwin ada anak, akan pjj, tanggungjawab selepas mendapat title pakar, entah kenapa rasa tak mahu semua tu. Mahu hidup sederhana sahaja, biarlah nampak macam suam, asal hati tenang.
Kenapa nak resign? Haa, susah nak cerita. Jujur cakap, lepas habis tahun pertama, terus konfiden tak akan lama dalam gomen haha. Tapi begitulah hidup, terpaksa lah harung sampai 10 tahun sebab belajar dengan biasiswa JPA dulu. Ah, menyesal betul. Kalaulah ambil MARA, habis 3 tahun terus resign rasanya haha.
No comments:
Post a Comment