Saturday, October 10, 2015
Jauh-jauh pun terbang.
"Teringin lah nak belajar Amerika" Bisik Aishah perlahan. Pada Aishah, nama Amerika sangat gah. Jadi, dia cuma pandai-pandai sahaja pilih Amerika, padahal dekat celah mana Amerika ni pun dia tak tahu.
"Amerika? Jauhnya"
"Oh. Jauh eh. Ok lah. UK" Aishah mengeluarkan bungkusan roti Gardenia yang dah expired.
"Tak sayang nak tinggal kampung ni?" Tak sayang nak tinggal Jepah?
"Sayang.." Aishah senyum sambil menyepak-nyepak angin. Semakin lama semakin ligat kakinya menyepak. Bawah mereka ada sungai, petang-petang kalau tak ada apa, mereka selalu duduk atas jambatan sempit ni sekejap, entah melayan ikan entah melayan anak burung balik sarang entah melayan perasaan.
"..Sebab sayanglah, kena tinggal-tinggalkan" Sambung Aishah semula. Roti dicubit kecil-kecil dan dilepaskan ke bawah.
Patutlah bukan main lagi Aishah dekat sekolah sekarang, ada hajat besar rupanya. Nak belajar UK! Dulu, rasanya tak pernah-pernah nombor atas bila periksa. Sekarang ni, asyik nama dia je kena panggil naik pentas ambil hadiah. Risau pula dengan gaya Aishah ni, macam nekad sangat je nak pergi luar negara, tapi kan baru tingkatan empat, awal lagi.
"Kau rasa, aku sesuai jadi apa?" Tersenyum girang Aishah bila bercerita fasal masa depan. Dia tak tahu ke, hati Jepah tengah awan berarak pilu ni.
"Kau? Surirumah kot" Jepah tawar hati melayan. Takut makin melayan karang makin melambung-lambung pula niat si Aishah ni nak ke luar negara.
Jahatnya!
"Orang tanya serius ni"
"La. Serius la tu jawapan. Nak serius macam mana lagi"
Aishah mencebik. Tadi elok je angin sepoi-sepoi, tenang-tenang, apa masalah mamat ni. Dan persoalannya sekarang, siapa yang patut terasa hati ni, aku ke dia?
Aishah mengintai Jepah dari hujung mata. Jepah senyap sahaja berbaring di sebelah, dengan tangannya disilang menjadi alas kepala. Bosan mungkin batang kailnya dari tadi tak mengena. Padan muka! Orang jahat memang selalu rugi. Sebenarnya dia betul-betul mengharapkan jawapan Jepah. Sebab mereka kan kawan baik dari kecil, dia tahu, mesti Jepah boleh bagi dia idea-idea atau komen-komen yang bernas untuk masa depan dia. Kecil hati jugaklah bila Jepah jawab acuh tak acuh tadi. Seolah-olah dia tak penting pun. Hati Aishah sedikit merajuk. Aishah angkat punggung dan berlalu dari situ.
Jepah dengar bunyi derap selipar Aishah yang cuba diperlahankan, sengaja dia buat-buat tak sedar. Lepas Aishah dah jauh, baru Jepah buka matanya. Di depannya sebuah kerajaan langit Tuhan yang maha luas, maha biru, burung-burung sesekali melintas sibuk mencari sarang. Kan, akhirnya begitu jugalah dengan manusia. Jangan risau. jauh-jauh pun terbang, lewat petang, pulang juga akhirnya. Dia cuma perlu belajar sungguh-sungguh sahaja, dan buktikan pada Aishah, dia juga boleh.
Amerika?
Tak nak lah. Tak menarik langsung.
Jerman?
Jepah senyum nipis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
sambung sistur..please!!
Haha sisturrr, sabar sisturr
Post a Comment