Kilat merekah panjang, membelah dua langit gelap. Dia tersengih dan berkira-kira dalam hati; pasti sekejap lagi akan diiringi dentuman guruh yang dahsyat. Dia kira lima saat. 5 4,3,2,1 Geddd-Ddduummm! Wah, garang sungguh langit petang ini. Seram. Ah, entah-entah itu caranya langit ketawa, kau mana tahu.
Jepah dulu belajar di Mesir. Hujan jarang sekali mahu turun. Kalau mahu, tunggu bulan 12. Itupun rindunya hanya terubat sebulan dua cuma. Guruh apatah lagi. Dia pun tidak pasti kenapa guruh itu menyenangkan hatinya. Bila terdengar guruh berdentum, seolah pusat tenaganya kembali menyala. Menghidupkan rongga-rongga yang telah mati.
Hari ini, semasa berjalan-jalan di sebuah kaki lima dekat rumahnya, dengan hujan yang tiba-tiba lebat, dan guruh petir yang hebat, rasa itu kembali mengusik. Rasa hajat yang tertunai, rindu yang terubat. Hatinya tumbuh seperti kemuncup yang meninggi tersimbah hujan. Sihat dan cemerlang. Tapi rasa indah itu tidak lama, kemuncup tadi menyembah bumi melayu seperti termakan racun lalang. Kerana bebola matanya telah tertangkap sebuah figura sepasang suami isteri yang sedang tunggang- terbalik berjualan pisang goreng di kaki lima seberang jalan.
Apakah dia terlalu mementingkan diri selama ini?
Figura itu mengelap peluh di dahi dan mukanya dengan kain tuala yang tersidai di bahu kirinya. Api kualinya terpaksa ditutup, ribut terlalu kuat. Kadang-kadang lapik meja juga hampir terbalik. Si isteri sibuk menutup dan mengalihkan dulang berisi pisang goreng ke tempat yang kering. Si suami juga sekejap ke kanan, sekejap ke kiri, menyelamatkan apa yang patut.
Apakah dengan selalu mengharapkan hujan, dia sebenarnya mementingkan perasaannya sendiri?
Figura itu cuma menguis-nguis tepung comot yang mengering melekat di bibir kuali. Pisang gorengnya telah sejuk, tiada pengunjung. Tapi, beliau tidak mencemuh hujan yang turun, malahan mengambil sebuah baldi kotor dan membersihkan baldi tersebut dengan air hujan yang menggelosor hebat melalui bucu khemah kecilnya. Scene itu sangat simbolik di hatinya. Dari beliau, Jepah belajar sesuatu; kalau musibah itu boleh menjadi hadiah saat kita merelakan ia. Saat mata dan hati tersingkap untuk melihat dari dimensi yang lagi satu.
***
Dari seberang jalan itu, ada sebuah doa tulus naik ke langit. Dan, diam-diam ada malaikat sedang mendoakan yang sama buat yang bernama Huzaifah.
'Semoga pasangan ini dimurahkan rezeki selamanya'
Saat ada pengunjung perempuan tiba di gerai mereka dan membeli sebungkus pisang goreng, hati dia lah yang seperti di pam-pam ke langit!
Setelah peristiwa itu,
"apakah dia terlalu mementingkan dirinya selama ini?"sering mengekorinya.
No comments:
Post a Comment