Saturday, September 20, 2014

Petir otak : Kapitalis, Perempuan & Marhaen

Sepatutnya sudah tidur, tapi sebab hujan lebat tiba-tiba jam 1, tak jadi nak melayan penat badan dan kantuk mata. Seharian berjalan akhirnya sampai ke bilik jam 9 malam. Tapi bezanya Nilai dengan Kemaman, hujannya langsung tak menyejukkan bilik. Entahla sebab tingkap ini yang tertutup atau cuaca dia yang memang berhawa panas. Tapi lagu rintiknya masih sayup kedengaran. Jadi, agak rugi kalau tidak melayan persoalan waktu waktu emas begini. Benda pertama yang saya selalu persoalkan ialah apa yang menyebabkan perempuan suka berbelanja? Dengan era yang semakin canggih, kedai jualan tumbuh bak cendawan di laman sosial, tidak perlu lagi start enjin kereta dan bersesak mencari barang. Peluh tidak menitis, sakit mata dan jari mungkin. Er, tidak terlalu keterlaluan agaknya kalau dikatakan perempuan memang sering dijadikan target bagi sistem kapitalis. Tidak tahulah wajar ke tidak perasaan kasihan kepada perempuan, padahal mereka berbahagia sekali dengan tawaran hebat harga runtuh sampai almari baju pun hampir runtuh. Mungkin sebab itu, minat berniaga sangat jauh dari hati terutama kalau sekadar mahu untung begitu begitu. Tak tahulah dari mana 'rasa jahat' 'rasa seperti mengambil kesempatan untuk menggemukkan poket sendiri' itu datang kalau diacah acahkan suruh terjun meniaga, kolot juga bila difikirkan. Paling-paling bagi dia biarlah berniaga pun ada manfaat, manfaat jangka panjang. Tambah sedih bila perempuan sering disogokkan dengan barangan sehingga lupa untuk tambah pengetahuan, berat juga bila mengingatkan bahawa dari merekalah nanti lahir generasi seterusnya. Sedih juga bila perempuan semakin gila dan suka untuk dilihat cantik. Dari situlah, lahirnya pelbagai masalah. Dari sekecil itu yang mungkin kecillah bagi kita yang tidak sedar sedang diperhamba sistem kapitalis. Perempuan sudah dilihat sebagai objek berhias, jika tidak berhias bersolek tidak dinamakan perempuan. Perempuan itu sebenarnya telah cantik seadanya.                                                              

Yang kedua, apakah definisi sekolah, apakah semua sekolah itu layak digelar sekolah? Kalau sampai sekolah, (buku-buku sekolah) dan hospital hanyalah sekadar projek buat badan-badan tertentu mengaut keuntungan, maka kita telah dapati ramainya orang semakin sakit. 'Terbunuh' di hospital, 'terbunuh' di sekolah. Kalau betul mahu rakyatnya sihat, mengapa disodok rakyat dengan banjiran makanan tidak toyyib. Halal sahaja belumlah cukup. Andaikata cop halal itu bersanding bersama toyyib, berapa banyak sahaja agaknya yang mendapat kelulusan JAKIM? Apatah lagi industri pertanian, pemakanan; visi asal mereka tidak lain keuntungan. Sihat sakit tubuh kita; kemanusiaan telah lama hilang. Persoalan persoalan begini memang sedikit berbaur pesimis dan idealis, kerisauan kerisauan yang tidak tahu kemana mahu dibawakan. Yang akhirnya penulis juga tidak mengerti dan tahu pelan masa depan buat dia membanteras kesemua ini, memerlukan nafas panjang dan kudrat yang tak sedikit.

Jika ada yang merasakan bahawa dia telah mengaut keuntungan dengan cara menolak kemanusiaan, mungkin anda juga telah terjebak dengan sifat kapitalis (sedar tak sedar).

No comments: