Saturday, November 29, 2014

.


Malam itu terasa sungguh bahang di dalam rumah. Aishah hairan juga dengan cuaca sekarang ni, katanya musim tengkujuh, siap datang flyer dalam peti pos lagi dari ketua kampung fasal amaran berjaga-jaga yang kemungkinan banjir bakal melanda. Dan di dalam flyer itu kami dikehendaki keluar ke masjid di atas bukit jika air naik. Tapi iyalah, siapa pula dapat mengagak panas hujan bumi ini, aturan kan semuanya dari Tuhan hatta ketua kampung sekali pun mana lah dia tahu esok lusa apa bakal berlaku.

Begitu yang dia rasa tatkala emaknya tiba-tiba memberitahu dia keputusan yang paling dia tak mahu dengar petang itu. Ketika itu, bagai ada kilat sabung menyabung. Walau di luar, langit terang benderang.

“Mak dah cakap dah dengan abah tadi, mak buat kemo lah. Tak tahan sangat sakit macam ni, dah banyak malam mak tak tidur” Suara mak yang sudah seminggu serak perlahan bercampur sedikit garau menambahkan lagi rasa sedih yang tak pernah berkurang. Kadang-kadang susah untuk meneka apa yang mak mahu sampaikan. Mesti dengar betul-betul dan adakalanya terpaksa menyuruh mak ulang sehingga empat kali. Ketumbuhan di leher pasti sudah menekan saraf peti suara mak.

Dia diam sejenak, tangannya masih ligat menyapu kaki lima dapur. Bagi Aishah, bersetuju untuk menjalani kemo buat kali kedua sama seperti bersetuju untuk ke tali gantung. Dia tahu, ubat kemo kali ini bakal lebih kuat, dan kesannya pasti lebih teruk dengan badan mak yang sudah sedia lemah. Dia tidak mahu membayangkan yang bukan-bukan tapi kata-kata mak selepas itu;
“Kalau dah takdir mak nak meninggal jugak, nak buat macam mana kan. Banyak dah kita usaha...”

Gelap gelita. Tuhan, apakah penghujung cerita luka ini?

Perasaannya dari petang tadi masih belum surut, terbawa-bawa sampai ke malam. Itu yang dia keluar mengambil angin. Dia suka melayan kerenah kucing-kucingnya yang suka berlumba lari di atas jalan tar depan rumah, kemudian dia akan bawa mereka bermain ke kawasan tanah lapang yang orang baru tambak yang dulunya parit. Penat menunggu masing-masing bermain, Aishah duduk mencangkung di tengah tanah menguis-nguis dengan ranting dipayungi bulan separa di sebelah kanan langit. Itu lah tempat kegemaran dia selain kebun kecil belakang rumah. Entah, Aishah ni memang jenis tak takut malam dan gelap, makin gelap makin tak nampak, makin dia suka. Jadi, kadang-kadang orang motor yang lalu lalang pandang dia semacam, yelah entah-entah hantu ke, pencuri ke. Abah pun selalu bimbang anak perempuan dia seorang ni berani tak bertempat, tak pernah takut.

Habis bermain, mereka pun pulang membuntuti tuannya. Berlari-lari. Dia nampak kelibat seseorang bertudung labuh. Oh, rupanya mak sudah keluar dari tadi. Aishah ajak mak ke jalan tar melihat kucing-kucingnya yang sedang buat projek menggali untuk najis najis mereka. Kami bergelak ketawa sementara tiada cerita duka yang mak mahu buka.

“Akak ingat tak wasiat mak hari tu?”

“Ala mak tak ingatlah, mak kena tulislah mak” Memang mak ada beritahu tentang beberapa perkara lama dulu, tapi masa tu Aishah buat acuh tak acuh sahaja sebab mak nampak sihat. Dia ingat-ingat lupa. Mak juga ada bagi satu buku tajuknya Kursus Pengurusan Jenazah. Kadang-kadang bila dia mahu baca buku tu, dia akan tutup pintu dulu. Entah kenapa, rasa tidak mahu mak nampak padahal memang itu lah hasrat mak supaya anak-anak dia boleh memandikan dan mengkafankan sendiri jasadnya nanti. Ah, sulitnya benda-benda macam ni.

Jadi, malam itu, mak ulang balik semua wasiat yang pernah mak sampaikan; dari tempat nak tanam sehinggalah ke barang kemas. Hasilnya, dia duduk mencangkung bersama mak di tengah-tengah jalan tar pula kerana lenguh bercerita. Mujur tak ada orang yang lalu lalang. Cuma nyamuk je suka mengambil kesempatan. Banyak yang mak ceritakan. Tapi tak akan pula dia mahu tunjuk hatinya yang dah kemek macam tin kosong kena gelek dek lori. Kalau bukan dia yang menguatkan, habis siapa lagi. Paling-paling, dia kena juga berlagak kuat buat sementara waktu. Nanti atas katil, nak banjir pun banjirlah. Tuhan je yang nampak tak apa.

Esoknya dia demam panas.

..Bersambung..




No comments: