Sunday, November 30, 2014

..



Kenapa agaknya kepala sering melontarkan soalan yang terang-terang tiada jawapan. Mujur ada abang yang selalu membantunya kekal neutral. Ketika dia melihat dunia ini seolah sudah tidak punya harapan lagi untuk pulih, dengan segala sisa berani yang dia ada dia ingin sekali menjadi pejuang. Apa-apa sahaja yang cocok buatnya, dia ingin menjadi seseorang.

"Boleh dik, boleh je nak jadi apa pun. Bercita-cita besar... Bagus.."

Nadanya seperti tak bagus saja. Aku melirik pandangan mata abang yang seperti sengaja menggantungkan kata-katanya. Abang, jangan berteka teki begini, angin bayu pun belum tentu dapat menghujungkan kata-kata abang yang tiada penutup itu. Aku angkat kening sebelah, tali kasut masih belum berjaya dirungkai. Hisy, siapa lah yang simpulkan jadi macam ni.

"Lautan dalam jangan diduga, kail awak tu panjang sejengkal pun belum"

Sudah! Pujangga mana pula ni turun siang-siang hari! Susahlah kalau bercakap dengan orang belajar falsafah ni. Tiba-tiba tak ada laut tak ada ikan. Dia bukannya mahu pergi memancing sekarang ni. Dia mahu pergi berjogging sahaja.

Akhirnya abang pun memulakan lariannya secara perlahan. Aku di sebelah, cuba bersaing tidak mahu kalah.

Pecutttt.

Dia berpusing sesaat ke belakang. Dengan senyum angkuh dia melihat abangnya yang telah jauh ditinggalkan. Tapi beberapa minit selepas itu, nafasnya tiba tiba jadi tidak teratur. Semput! Dia berhenti mendadak dan terus membelok keluar dari lorong jogging untuk mendapatkan bangku.

Kali ini, abang pula yang meleret-leret tersenyum. Geramnya, kalau nak gelak tu gelak ajelah tak payah nak sengih lebar sangat, dari jauh macam kerang busuk sahaja.

"Tengok, cita-cita besar itu bagus je dik. Tapi, jangan lupa menghitung berapa jauh kita mahu pergi. Kalau mahu gerak jauh, mesti perlahan-lahan dahulu tapi konsisten. Sekarang semput, siapa yang susah? Abang juga yang susah" Abang menghulur air tin 100plus yang dia beli sebelum sampai ke taman tadi.

"Ini kan abang punya?"

"Satu lagi, walau nanti adik dah ada cita-cita, jangan lupa orang yang adik sayang. Konsisten, dan berhenti bila perlu, ok?" Abang kenyit kedua mata dan membaling tuala busuknya sebelum sambung berlari lagi. Oh, kononnya nak kata dia berhenti ni, sebab dia sayang lah ni. Hmm.

Dia geram sebenarnya. Soalan dia tadi cuma:
"Abang, macam mana kita nak baiki dunia yang serba cacat ni?"

Jadi, malam itu dia cuba merumuskan kata-kata si pujangga yang dah terbelit-belit dalam benaknya sejak dari tadi. Dia mengambil pensel 2B dari dalam gelas, dan menggoyang-goyangkan kerusi belajarnya. Kakinya diangkat ke atas. Lagaknya berfikir seperti seorang professor mahu gubal soalan maut untuk pelajarnya sahaja. Setelah ditimbang-timbang, mungkin...abang mahu beritahu bahawa:

1. Dunia ini memang sifatnya cacat
2. Sebelum bantu dunia, bantu diri sendiri. Itu juga membantu.
3. Tahu diri. Gerak perlahan tapi panjang.
4. Jangan lupa diri dan kesayangan.
5. Apa lagi ya?

Sudahlah.

Abang ni memang suka menambah pening yang sedia ada. Tiba-tiba dia rasa dia tak sesuai untuk bercita-cita. Cita-citanya yang tinggi melangit yang baru dilakarnya semalam di dalam diari dia hitamkan dengan marker. Malu sahaja kalau abang curi-curi baca! Nanti sahajalah dia ukur dirinya, panjang mana kailnya, malam ini dia tak larat, betisnya masih terasa tegang. Turun naik tangga pun dah macam nenek nenek sahaja. Sekarang, dia mahu bermimpi dulu. Lagipun, dunia ni kan memang cacat! Abang yang kata! Eh, bila pula abang kata, itu dia yang pandai-pandai terjemah sendiri.

Lampu mejanya ditutup.

Esok, pasti dia akan kembali mengukur; jarak antara masa yang telah berlalu dan masa yang akan datang dengan titik tengah tempatnya berdiri. Berapa masa dan kelajuan yang diperlukan. Ketika itu, dia akan teguh hati dan tak akan mundur lagi.


No comments: