Keputusannya keputusan intuisi. Tak pernah jelas, apalagi bila ditanya objektif. Dia tidak pandai memberi penjelasan atas keputusan. Tapi bukan main kukuh lagi dia mempertahan apa yang dia mahu untuk masa hadapan. Semacam dangkal sahaja, tapi dia percaya.
Masa sebegini tak akan berulang.
Dikejar apa, dunia itu memang akan begitulah, berputar putar, berputar putar.
Galaksi dan bimasakti. Sistem bintang dan kerajaan langit. Langit yang dulunya satu dengan bumi kini terpisah beribu ribu kilometer jauhnya. Rindukah kau kepada bumi, langit? Pasti kau juga menghitung detik tidak sabar mahu menghempaskan diri bertemu bumi. Tapi tidak, kehidupan masih belum ditamatkan, sangkakala pertama masih belum ditiup malaikat, matahari masih terbit di timur. Kehidupan masih perlu diteruskan, dan kau mesti teguh bertahan di atas.
Mungkin dia mencari waktu untuk hibernasi. Dia perlukan banyak waktu untuk itu, seperti beruang kutub putih yang tidur berbulan di dalam gua sebelum keluar lagi meredah hutan belantara. Atau seekor siput yang perlahan sekali, menikmati rumput hijau dengan tenang dan sembunyi sembunyi sebelum dilibas mesin rumput.
Setenang itu.
Kelam kelibut manusia di kota, dia memandangnya dari jauh. Senja berlabuh. Dan dia tertanya tanya, sepanjang-panjang malam, langit paling hitam sebenarnya di suku masa ke berapa?
No comments:
Post a Comment