Sunday, April 05, 2015
Kecintaan adalah hukuman.
Saya katakan ia hukuman. Mungkin anda mahu katakan ia hadiah, ya terpulang mana-mana pun. Selama ini, motivasi untuk selalu buat yang terbaik, usaha sehabis daya, menang di semua perlawanan adalah mahu melihat senyuman bangga mak. Titik. Bila mak bangga, seluruh dunia tidak lagi diperlukan. Mak terlalu memenuhi ruang hati, sehingga jujurnya jarang sekali rahsia hati diceritakan pada kawan. Mesti mak dulu yang pertama-tama, kemudian mak dan mak, dan adik-adik perempuan. Dan barulah kemudian, kawan.
Salahkah Tuhan kecintaanku ini, sehingga Engkau menghukum aku begini?
Soalan-soalan berbaur kecewa selalu mahu timbul timbul ke permukaan, tapi segera diterjang ke bawah. Rasa macam penat pula berjuang sendiri sendiri begini. Tidak ada ribut, tidak ada petir, tidak ada peluru, tidak ada api raksasa, tapi rasanya sudah seperti pejuang yang hampir putus nyawa. Agaknya kalau mati kerinduan begini, akankah dikira sebagai syahid? As if!
Ah, entahlah. Serasa tidak ada apa lagi yang ingin dijuangkan. Tidak ada lagi semangat yang biasa dibawa sebagai bekal perjalanan. Tidak ada lagi yang ingin menjadi pendengar saat saat rasa terbeban. Tidak ada lagi obor buat menyuluh ruang jalan yang selalu gelap. Tidak ada lagi doa yang mustajab.
Rasa macam nak tampal tisu je depan dua mata ni. Ikut suka dia je nak berjurai, siram pokok, sidai kain, sapu sampah, masak, baring, duduk, tengok tv, baca, tulis, sebelum tidur, dalam solat ah apatah lagi kalau terlihat gambarnya!
Saya tidak tahu sampai bila baru ia akan sembuh. Mungkin juga tak akan.
Saya pernah juga tanyakan ini pada kawan, untuk apa lagi hidup? Ternyata dia diam dan terkejut, dan saat soalan itu meluncur tanpa segannya di bibir, saya tahu saya sudah patah sepatah-patahnya. Tidak ada nasihat yang mengiringi, cuma air mata yang tak mampu dibendungkan lagi, menyembamkan muka dalam pelukannya.
Saya selalu cemburu, beruntunglah mereka yang bersedih kerana kehilangan kekasih atau buah hati, kerana kesedihan itu boleh dicari ganti. Berbanding yang ini, kau jelajahlah seluruh dunia, kau panjatlah banjaran titiwangsa sekalipun, dia yang indah itu tak akan lagi muncul.
Dan untuk pertama kalinya bila demam baru ini, serasa mahu dimanjakan dengan layanan istimewa bubur nasi atau air air permintaan mengada-ngada. Realitinya, tidak ada lagi yang mahu melayan. Simpan sahajalah harapan sedemikian, telanlah segala hingus dan air mata apa adanya.
Kata kawan, bacalah buku supaya tak fikir yang sedih sedih sangat. Habis buku dibaca untuk merawat sedih, sedih tak pergi pergi, malah terkadang baca punya baca sampai lah terbaca bab 'ibubapa' sudddah, luka balik.
Jadi, biarlah begini. Mungkin sehingga tahun 2016 pun, tulisan tulisan akan masih bernada melankolis. Sehingga hati ini tersembuh yang entahkan bila, mohon bersabarlah membaca. Dan doakanlah, semoga hati ini bakal terisi lagi walau mungkin keindahannya tak akan sama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment