'Mungkin kau cuma perlu rasa tenang untuk menang'
Mula-mula tak boleh nak hadam, takkan semudah itu jawapannya. Katanya lagi, kau sudah selalu mudah untuk menang, mungkin sebab itu lah. Sebab itu lah kau tak rasa apa-apa. Dari kecil kau sudah terbiasa menang, kau tak dapat rasa perasaan euphoria orang yang sukar mendapat kemenangan. Eh suka suka je la Jepah ni, dia nak cakap aku ni kategori insan tak bersyukur la tu!
Entah, benarkah?
Bagitahu aku apa definisi menang.
Jepah diam. Malam itu kelam, menara Kuantan 188 jadi suram tanpa awan. Mereka tenung lama juga. Tidak banyak bintang, cuma ada satu dua yang jauh. Langit pun seperti kaku, buntu memintal persoalan Aisyah.
Nafas dilepas berat. Sayunya. Apa khabar mak di sana? Bila agaknya rindu ini akan reda. Matanya dipejam perlahan, untuk seketika dia rasa seperti sendiri, walau sebenarnya semua orang tahu dia telah mendapatkan semuanya di dunia ini. Cuma satu dia minta pada Tuhan. Dan satu itu telah pun pergi. Air mata perlahan mengalir. Ya Allah bantu aku ya Allah, kenapa rasa seperti tiada tempat untuk lelah ini dipulangkan.
Jangan lama lama begitu sayang. Ambillah seberapa lama mahu, tapi hati mesti kembali. Jangan sandarkan pada makhluk. Ingat tu, akhirnya semua akan kembali kan? Mak baik baik sahaja di sini, mak tunggu ya.
Air mata yang ditahan sedari tadi terus pecah. Ngilu terasa di ulu hatinya. Jepah juga kaget seketika. Aisyah mengangkat tangan kanannya keatas, seperti meminta Jepah tunggu, jangan diapa-apakan, bagi dia ruang, badannya diringkukkan lebih rapat.
Baik, Jepah memang sudah terbiasa. Bagi Aisyah lima minit cuma, untuk dia lepaskan.
"Nak popcorn?" Jepah bergurau.
"Wehh!" Aisyah tersenyum secalit, segaris.
Haa ok lah sikit nampak. Aisyah, kau tu sebenarnya memang penjiwa yang acah kental. Kau memang hati tisu sangat tapi kadang suka berlagak macam tak peduli, tapi diam diam dia simpan semuanya. Sampai lah penuh dia isi hati tu, tahu tahu macam ni lah. Tiba-tiba je, dah menangis. Yang jadi mangsanya siapa, aku jugalah! Dahlah terkejut, cemas, takut, tambah lagi bingung nak bagi kata-kata semangat apa. Lama dia fikir.
"Aisyah, kau sebenarnya dah lama menang"
"Apa tu haha kenapa pula menang" Tisu yang dah basah tadi dipintal pintalnya di hujung jari. Rasa macam putus urat otak lepas menangis tadi. Letihnya.
"Ya, walaupun aku akui emosi kau macam harem. Tapi aku suka perlawanan logik dan emosi kau"
Jepah ni, dia nak cakap aku perempuan emosi la tu. Berlapik-lapik pula. Aku emosi? Mana ada. Sesekali je. Dah memang manusia diciptakan ada perasaan.
Hmm, sulit ya kalau dengan Aisyah ni. Tapi dia budak baik. Tapi ada sedikit keras. Bukan semua orang boleh faham logik dia. Ada ke patut dia pergi letak jawatan! Dah elok-elok kerja gaji besar. Tapi itulah, bukan semua orang boleh faham apa yang dia nak dalam hidup. Kadang-kadang terlalu idealis. Tapi masih logik untuk keadaan dia, jadi sebab itu kot dia suka Aisyah. Macam kucing, berlagak, kadang macam tak peduli, tapi sebenarnya ada sisi dia yang manja kalau kena caranya.
"Kau menang Aisyah. Kau akan selalu menang, kalau kau mencari jawapan. Hidup akan selalu mendatangi kita dengan perkara-perkara yang tidak senang di jiwa. Tapi, selagi mana kau aku kita semua terus usaha mencari makna, berfikir, tadabbur, kau tak akan pergi jauh Aisyah. Walau jalannya terasa berselirat. Sebab, bukan mudah kan untuk menggapai cahaya subuh di puncak? Hutan yang penuh banir akar itu harus kita tempuh dulu dalam pekat malam dalam kesejukan. Tengah sejuk ni kan? You are on the right track, man!"
Aisyah tergelak besar, ditutupi dengan senyum pendek. Bibirnya kecil, kadang-kadang tak perasan sangat dia senyum. Mata kami bertembung sesaat. Entah kenapa ada sesuatu yang mekar dalam hatinya, lantas bibirnya tersenyum simpul. Aduh, apa benda ni.
"Kau rasa macam tu?" selesai ketawa, suara Aisyah kedengaran lirih, seperti orang minta tolong.
Jepah angguk sambil mengangkat sebelah keningnya.
"Jom, aku belanja ais coklat creme brulee"
"Yeyy!"
Tengok, bukan susah pun Aisyah ni. Dia dah yeyy tu kira ok dah tu.
"Janji, malam ni jangan fikir yang bukan-bukan ok"
"Baik!" sambil dia menghirup air coklat sejuk. Haih, perempuan memang sama!
Lagu dari Djo- End of Beginning kedengaran di corong radio.
Aku ada, aku akan sentiasa ada Aisyah, walau masa tu aku cuma bayang-bayang kau sahaja. Aku akan tetap teman kau, sampai kau rasa lega untuk teruskan lagi sisa-sisa kehidupan dunia. Kata-kata yang cuma dia seorang sahaja dengar. Belum masanya lagi untuk dia bagitahu Aisyah. Sehingga itu, dia akan selalu doakan Aisyah. Selamat malam, sayang.
No comments:
Post a Comment