Sunday, September 07, 2014

Cerpen: Perempuan Itu


"Kau ada ramai teman perempuan ?"

Jepah angguk dengan muka bingung.Tanah di dalam pasu dan muka Aishah saling silih berganti sambil tangan cermat menarik rerumput jahat yang mula menumpang bahagia pokok bunga kertas. Yang sebenarnya dia dan Aishah terlupa memotong kuku hari ini.

Takdir itu kadang-kadang sangat tepat. Tiba-tiba juga hari ini ada perhimpunan mengejut. Dia tahu sahaja kukunya panjang tetapi akibat kemalasan, dia berdoa sahaja sepanjang perhimpunan pagi tadi semoga dirinya dilindungi, malas mahu meminjam pengetip kuku Sarip. Padahal boleh sahaja kalau dia mahu. Dia cuba mantera membaca yassin sampai ayat ke 20, sebab yang selepas itu dia belum hafal! Semoga pengawas tak nampak kukunya yang panjang.

Pastilah,doa yang tanpa usaha itu percuma! Dan sebagai denda, dia dan Aishah kini menjadi tukang taman sekolah.

"Ramai. Salah seorangnya kau, dekat rumah aku pun ramai, dekat kelas mengaji aku pun ada seorang namanya Aishah. Tapi lain sikitlah. Dia ala-ala gadis melayu sikit suka pakai baju kurung,duduk bersimpuh."

"Mestilah lain, dah bintinya pun lain. Ah,apa-apa lah. Tu je? Ingatkan ramai.."

"Banyak lagi"

Sepi.

Hanya bunyi daun dicantas Pak Sako di sudut kiri sekolah sahaja yang mengisi ruang udara. Masa-masa macam ni burung tak nak pula menyanyi. Hisy! Selalu bising aja, mana pula pergi burung pipit yang banyak mulut ni. Terasa aneh pula membiarkan dialog tadi tergantung,sunyi. Atau,Aishah merajuk? Takkanlah,dia kan hati batu,lagak jalannya juga kasar.

"Kenapa senyap. Bukan merajuk kann..?" Jepah cuba menyerkap jarang.
"Takdelah, tengah fikir.."

Dia faham sangat. Aishah tak suka dikatakan merajuk walau hakikatnya dia tengah merajuk. Aishah pernah cakap dulu, dia benci perempuan yang suka merajuk,gedik dan manja. Tapi,perempuan tetaplah perempuan. Walau sebenci mana pun dia dengan baju kurung, hatinya tetap halus, sehalus kain. Jangan bermain walau dengan satu urat. Tertarik satu lembar,remuklah kain.

Bila Aishah diam, aku pula jadi tak keruan. Aku suka dengar hujah Aishah. Aku suka dengar idea-idea pelik Aishah. Aku suka dengar suara-suara memberontak Aishah. Jarang aku jumpa perempuan yang kuat bersoal seperti dia. Kebanyakannya lembut mengikut sahaja. Dengan Aishah, bicara lah sampai bulan bintang, masa hadapan masa belakang, semuanya boleh!


"Kenapa tiba-tiba kau tanya tadi? Teman perempuan..."
"Oh, tak ada, cuma terfikir apa pandangan kau, sebab kau kan banyak teman perempuan"
"Tentang....?"
"Tentang...perempuan akalnya satu. Akalnya pendek. Kau rasa camne? Perempuan ni betul ke fikiran dia singkat? Kalau lelaki boleh tengok 2 kilometer ke hadapan,perempuan cuma 500 meter, betul?"

Kan, aku dah kata dah tadi, dia mesti ada benda yang mahu didebatkan. Tadi cuma intro sahaja, ini baru masuk isi. Once Aishah always Aishah. Otak aku mula memerah keringat. Jarang aku perah otak kuat macam ni masa dalam kelas. Sebab tu aku tak kisah kena denda cabut rumbut di taman mini sekolah, lagi-lagi bila dapat partner macam Aishah. Sampai ke sudah cabut rumput tak ingat nak balik kelas.

"Benda ni subjektif.." Mendatar suara Jepah.
"Tak payah nak escaping sangat. Cepat jawab,kalau tak aku cucuk garpu ni jadi kasim selamat kang"

Disuanya garpu penuh tanah itu ke muka. Ei garangnya yang ni sorang.

"Okkayy.Tapi jangan marah ha. Kalau aku diberi dua pilihan jawapan samada 'ya' atau 'tidak', aku akan pilih ya. Berdasarkan pengalaman aku lah"

Aishah angguk. Nampak berpuas hati dengan jawapan atas tanah aku. Memang dia pantang orang bagi jawapan atas pagar, katanya nampak sangat pengecut. Jepah perhati lagi mimik muka Aishah, bimbang juga kalau-kalau jawapan dia tadi terlalu jujur. Setelah pasti tiada tanda-tanda berkecil hati, dia menarik nafas lega diam-diam. Ok la tu.

"Tapi Aishah, aku tak rasa emosi sebagai sesuatu kekurangan. Untuk perempuan,senjatanya yang itu lah. Maksud aku, cuba sahaja kau bayangkan; seorang ibu tanpa emosi, apa akan jadi pada anaknya yang demam panas tiba-tiba. Jadi, emosi perempuan adalah driving force yang tak perlukan material, berbeza dengan lelaki" Panjang lebar Jepah menghurai lagi tanpa diminta.

"Ermm...Maksudnya emosi tak lah diperlukan dalam semua keadaan,kan? Itulah masalahnya. Kadang-kadang susah juga nak pilih,keadaan mana yang patut kita emosi,keadaan mana yang tak perlu" Soalan Aishah sudah mula bercabang.

"Kusut lagi la ni?" Akal Jepah juga makin bercabang-cabang dibuatnya.

Laju Aishah mengangguk, matanya seperti kucing merayu makanan.

"Macam ni lah. Susah juga ni. Ermm...Kejap, bagi aku pikir jap"

Biasanya orang cakap perempuan ni nak pinjam telinga sahaja. Tapi si Aishah ni bukan setakat telinga je, dengan mulut dengan otak sekali kena kasi pinjam. Penat betul nak cari jawapan. Kalau dengan perempuan lain senang juga nak goreng.

"Ha! Jumpa dah. Camni...Okkay, kau perempuan, aku lelaki. Cuba kau tengok ni. Ni ikan, atas tu merpati"
"Eyyyyhh?"
"Sabar la tak explain lagi. Ok, kau rasa senang tak nak tangkap ikan guna tangan?"
"Mestilah tak"
"Sebab?"
"Mata ikan boleh nampak sampai belakang"
"Merpati? Kau rasa senang tak nak tangkap?"
"Dia duduk atas,cemana nak tangkap!"

"Itulah maksud aku. Kita semua mungkin berbeza, kerana Tuhan kurniakan kita defense mechanism yang berbeza sesuai dengan tahap kekuatan kita. Perempuan mungkinlah boleh disamakan dengan ikan yang sangat sensitif dengan getaran air. Matanya merangkumi dimensi yang luas. Macam hati perempuan, sensitif dan teliti. Supaya dia dapat menyelamatkan diri dia dari anasir luar yang cuba menjahat."

"Ya Tuhan, tak sangka pandai jugak kau sains ek, tapi apesal bila exam..." Aishah tak dapat menyambung, perutnya sudah bergetar getar, geli hati. Terkekeh-kekeh dia langsung terjelepuk tepi pagar taman.
"Hey hey aku C atas kertas je ok. Kau tu A lah sangat ceh, benda senang macam ni pun tak boleh nak fikir"
"Amboi. Sedap muluttt"

"Aishah!Huzaifah! Naik!" Suara madame Ima jelas kedengaran walau dari tingkat tiga.
"Yes madameee!" Sama-sama menjerit terkejut. Masing-masing lari bertempiaran naik ke kelas.

Duduk di kelas, kami main baling bola surat pula.

Jepah : 'Kau merajuk kan tadi?'

Dibalingnya masuk ke pencil box gedabak aishah. Aishah nampak, tapi sengaja dia rajinkan diri menyalin apa yang Madame Ima tulis di depan. Padahal tak disuruh pun.

Sampai lima biji bola kertas penuh dalam pencil box Aishah. Konsisten betul. Tepat pula tu.

Aishah angkat tangan, "Madameeee!" Berkira-kira mahu mengadu tentang Jepah sambil menjeling tajam mata Jepah. Berkerut-kerut dahi Jepah, matanya juga sepet meminta belas pelepasan kali ini.

Madame sampai di depan mejanya. Aishah bisikkan sesuatu di telinga Madame. Kecut Jepah melihatkan situasi itu, mata Aishah juga tak lepas menikam dia sejak dari tadi.

"Yes, you may go" Lembut sahaja suara Madame.

Segera Aishah keluar. Di balik pintu, sempat dia menjelir pendek dan berpusing untuk ke tandas, dia sebenarnya memang dah tak tahan nak terbuang air. Sengaja dia ambil peluang itu mengusik Jepah. Biar lepas ni dia tahu waktu-waktu yang sesuai nak macam-macam.

Jepah tulis momen itu dalam diari. Tak, dia tak marah. Cuma, macam sayang kalau momen itu dia tak tulis. Mungkin satu hari nanti, itu bakal jadi artifak yang berharga jutaan ringgit. Kalau masa tu Aishah adalah Perdana Menteri, dia sudah ada bahan untuk mengugut dan menjatuhkan Aishah.

Senyum senget.

Sementara di dalam tandas, tidak ada siapa dapat mengagak apa yang diperlaku Aishah. Kerana dia perempuan yang tahan bersembunyi, sehingga loceng berbunyi.










No comments: