Thursday, April 16, 2015

Bukan Autism



"Dah tiga bulan lebih,ehh kan?" Ain bertanya dengan nada yang begitu berhati-hati. Mata penuh waspadanya jatuh ke lantai hati tanpa berbunyi, seakan sehelai bulu merpati yang jatuh terbawa angin. Lembut dan mempesonakan, pintu hati terbuka dengan sendirinya.

Aku mengangguk dan menghadiah satu senyuman nipis, tak begitu menawan tapi cukup untuk memberitahu bahawa 'okay, you have my permission, please proceed'

"Rasa apa?" Soalnya lagi.

"Rasa yang mana satu?" Dia cukup tahu hanya orang yang suka berselindung sahaja yang akan menjawab soalan dengan soalan yang lain. Tapi itu bukan persoalannya sekarang. Persoalannya, dia tidak tahu soalan Ain itu sebenarnya bermula dengan keraguan seperti apakah. Adakah dia kelihatan terlalu murung, atau adakah dia kelihatan terlalu bersahaja yang mana satu? Sepanjang Ain di rumahnya tidak pernah sepatah cerita sedih itu dikeluarkan.

Lagipula, hatinya sekarang bukan segumpal. Kini sudah terpecah empat, punya ruangnya yang tersendiri. Ada yang gelap, ada yang cerah, ada yang penuh dengan barang-barang lama, ada yang kosong penuh sarang labah-labah. Dalam satu hari, dia boleh sahaja merayau ke mana-mana mengikut kondisi semasa.

Ain mati kutu bila jawapannya ditembak jawapan yang lain. Serasa tidak berpeghujung, tapi dia harus tahu. Bukankah itu fungsi seorang sahabat, membiarkan kawannya sendirian mengelamun tanpa pernah sekalipun meluahkan adalah sesuatu yang bukan normal untuk manusia biasa. Mungkin tuan punya badan sendiri tidak sedar yang perasaannya telah tertinggal dalam sebuah kesepian yang terlalu dalam, yang mesti diselamatkan.

"Mintak jurnal"

"Jurnal?"

"Ya, jurnal. Jurnal yang kau tulis tiap malam tu"

"Oh-h"

Aishah bangun dan menilik meja bacaannya. Susunan bukunya pelbagai gaya, menegak, melintang semua ada. Tapi masih nampak rapi. Dia serahkan satu buku merah, di depannya ada tulisan Istanbul berfont italik yang sukar dibaca bersama gambar kucing hitam.

Hmm terlalu Aishah, bisik hatinya seraya tersenyum ketika Aishah menghulurkan jurnal tersebut. Lalu dia membelek ke lembaran paling belakang, dan menuliskan kembali soalannya tadi.

Entah kenapa dia boleh percayakan Ain semudah itu. Jurnalnya adalah peti rahsia, segala jenis perasaan yang pernah ada, semuanya ada di dalam itu, seperti sebuah peti besi yang penuh harta karun. Yang lama, yang buruk, yang kuning, yang berkarat, yang dimakan anai-anai, yang tertumpah kopi, tapi yang itu-itulah yang dia sayang, itu nyawanya. Tapi sebab dia seorang Ain, dia tidak kisah kalau Ain mahu melihat semua yang buruk-buruk itu. Pintu hatinya sudah terbuka tadi, perlahan.

"Jangan risau, aku tak akan baca yang lepas-lepas. Tapii kita akan bercerita tentang masa sekarang aje, ok? Nah"

Terasa seperti dimanjakan seperti anak bisu pula. Hanya mata, bahasa badan dan gerak senyum sahaja yang saling menghantar isyarat.

Dia memandang soalan Ain berulang kali, dengan senyum meleret. Pen di tangan ditongkatnya ke dagu sambil meniarap di atas bantal. Matanya bersinar-sinar, seperti orang baru dapat hadiah baju baru. Entahlah ada apa dengan tulisan, seperti ada magis yang membuatkan hatinya mendadak terbuka dan kembang seperti bunga kembang pagi. Dia tidak rasakan itu semasa soalan itu diwajahkan dalam bentuk dialog. Entahlah padahal kan sama sahaja.

Dia cuba melakar sesuatu, dari dia yang paling jujur. Dan sememangnya begini lebih mudah, terima kasih Ain. Sebab yang dia ucap, selalu kedengaran terlalu asing, maknanya sering seperti tidak mencapai hasrat hati bergeser antara yang lain, tapi dengan menulis, dia boleh jujur dan berlaku lebih adil terutamanya untuk orang yang bertanya.



" Rasanya seperti dalam sebuah pencarian yang panjang, yang dalam sedarnya aku tahu, aku tak akan berjumpanya lagi. Sesuatu yang hilang yang membuatkan hati rasa jauh dan tidak mengerti. Ianya tentang sekeping jiwa yang sarat cinta, tapi telah menjadi sunyi sepi dan kabur. Masa hadapan menjadi sesuatu yang tidak mengujakan lagi untuk aku bayangkan yang indah-indah. Hari demi hari, malam demi malam yang aku lewati adalah cuma sekadar mengisi waktu di antara mimpi dan realiti. 

Sumbu yang telah mati cahaya, yang tinggal cuma bau minyak tanah yang masih segar dalam kenangan. Harganya terlalu mahal Ain, mempunyai ibu adalah mempunyai hati. Kau mungkin belum faham semuanya apa yang aku katakan ini, tapi percayalah Ain, ibu adalah segala-galanya buat hati. Hati yang penuh-penuh itu, aku sudah tak mampu untuk miliki lagi. Dan, sepayah apa pun, ini lah kenyataanya, dan aku akan tetap tempuh walau hati cuma tinggal tidak sampai separuh. Kadang-kadang terlintas juga di hati, semoga usiaku ini tidak terlalu panjang, supaya aku boleh tamatkan semua kerinduan secepatnya. Jahat ke berdoa macam tu Ain? Tapi, nyawa juga milik Tuhan, seperti jiwa. Entahlah, setakat ini begitulah. Untuk soalan dua patah itu aku balasnya dua perenggan. Sekian. Nak sangat kan haha " 1:05am


" Aishah, kau tak perlu malu untuk sedih. Tak perlu juga untuk mengakhiri tulisan hati dengan lawak jenaka dan gelak yang sungguh dibuat-buat. Ya, mungkin belum masanya untuk aku faham. Hanya yang pernah merasa yang sebetulnya faham, begitu kan? Tak apa, dengan aku kau boleh jujur apa sahaja. Jangan sembunyi. Kau boleh depress, marah, badmood, gila, atau apa sahaja, aku sedia jadi dinding tempat kau lepaskan segala tendang terajang. Aku tahu kau memang 'gila', 'jahat', dan 'pelik' tapi aku suka sebab ah entahlah sebab aku suka je lah kot haha! Aku pulak yang jadi tak betul. Sekian. Eh kejap, tapi kenapa kita tak berdialog sahaja macam orang lain hah? Kau tak autism kan. HAHAHA Ok sekian" 1:15am


" Itulah dari dulu lagi aku nak tanya, kenapa kau nak kawan dengan aku? Atau sebenarnyaaaaa, kita sama-sama pelik dan suka mengarut. Tapi memang, selain aku pelik dengan diri sendiri, yang memang aku tahu kenapa, ada sesuatu yang lain yang sangat pelik yang aku harus tahu kenapa. Kenapa kau nak kawan dengan aku? Aku boleh terima semua gila, semua jahat, semua pelik, semua autism yang kau lemparkan tu, sebab itu memang aku, tapi kau ni kenapa dekat sini dengan orang gila? Please explain and thankyou. " -1:23am


" Soalan kau itu, aku masih belum tahu jawapannya. Mungkin nanti. Sebuah nanti yang waktu itu masa akan sudi memberitahu kita, apa sebenarnya yang terjadi. Tentang semuanya. Sehingga waktu itu sampai, kau tak perlu jadi siapa-siapa, kau cukup sempurna dengan semua cacat buruk engkau. Ok?" -1:30am


" Ok. Kau buat aku tersenyum. Terima kasih. " -1:34am


" Nampaklah! Macam kerang busuk. Hey jom tengok bulan " 1:36am


" Cantik kan, rasa nak duduk tepi bulan tenung dia lama lama =) " 1:38am


" Bertambah-tambah gila ni. Ok jom tidur, esok ada agenda! " 1:41am


"Tak boleh tidur laaa. Jom kira bintang" 1:45am

"Tidurrrrr!" 1:47am

"HAHAHAHA Ok Ok goodnite!" 1:50am

"Niteee!" 1:52am


Akhirnya begitulah sesi berdialog kami dihabiskan. Padahal masing-masing belum bisu, kotak suara masih sihat. Tapi untuk menghormati perasaan Aishah yang sangat dalam itu, bukan boleh begitu-begitu sahaja. Dia mesti berani menggalas tong oksigen dan menyelam. Memancing di permukaan dari dalam kapal sungguh bukan caranya mendapatkan seketul hati dia. Sepuluh tahun berkawan, seharusnya dia sudah tahu bagaimana.



No comments: