Friday, April 10, 2015

Separa sembuh.


'Biasakan diri untuk tidak diberi. Redha itu untuk hati hati yang menyerah pada Tuhannya' - Us Habib Ali Zainal Abidin

Suara ustaz agak garang. Tapi saya suka sebab cepat sikit tersentap, selepas itu saya termenung panjang, mungkin ya, saya belum menyerah sebetul betul serahan.

'Kau manusia, kau tak boleh ada semua' - Wani Ardy

'Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan  kelaparan dan  kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar' - Al-Baqarah: 155

Jiwa - Saya tidak pasti mana satu tafsirnya yang tepat sama ada kehilangan nyawa atau jiwa yang terlalu penyedih, saya tidak tahu. Ah tapi bukankah dua-duanya berlaku serentak.

Mungkin, saya memang terlalu tidak pandai melalui ujian berupa kehilangan. Tapi, Tuhan selalu sahaja ada caranya. Kehilangan demi kehilangan, kehilangan demi kehilangan, mungkin lagi dan lagi sehingga akhirnya nanti saya berjaya mengelolanya dengan baik. Rasa macam dalam satu kem ketenteraan pula, ada tembok- tembok yang semakin lama semakin tinggi. Kalau tak lepas yang rendah, duduklah dekat situ sampai bila-bila. Tapi, kalau lepas, ada tembok lebih besar menanti, jadi lebih baik tak payah lepas, eh?


Lama juga masa diambil untuk faham benar konsep redha dan tawakkal. Berbulan-bulan, bahkan mungkin ini baru separuh, belum betul faham lagi. Ianya sungguh-sungguh tidak semudah menulis, tidak semudah didengar atau dibicarakan. Walau dalam bahasa arabnya, cuma tiga patah 'ra' 'dzho' 'alif', praktikalnya bersabung nyawa nak habiskan sampai ke alif. Ternyata setelah bertahun-tahun ber-tapa berteori bersegala macam mak nenek, di dalam kertas A++ sekalipun, bila terkena, awalnya saya rasa saya gagal, sedikit? Haha.


Antara yang sedang saya belajar ialah bagaimana untuk tidak meletakkan expectations terhadap diri sendiri setelah apa yang terjadi. Kenapa membebankan hati yang sudah terbeban dengan faktor luaran yang tak mampu kita hindar. Bagaimana untuk tidak mendaki harapan atau angan-angan melebihi realiti. Apatah lagi meletakkan expectations terhadap orang lain, ini kekejaman yang nyata terhadap hati sendiri, jadi jangan. Saya sudah pun berlalu dari pintu harapan, hanya kadang-kadang bila malam-malam, menjenguknya sekejap-sekejap tanpa termenung. Tidaklah terlalu remuk begitu.

'Hati ini sudah tidak mendaki lagi, bagaimana mungkin ia jatuh' - Dar Baraka

Ingat ingat lupa matannya. Tapi begitulah lebih kurang, apa yang saya rasa sekarang.


Lagi sepuluh hari, sedaya upaya cuba untuk bersedia sesederhananya. Sederhana, tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah. Ye lah, apalah maknanya hidup kalau tidak berani. Apalah namanya manusia kalau tidak gusar. Layankan sahajalah panas terik, hujan ribut pun, anggaplah ia semacam sebuah travelling, menikmati semua kejutan-kejutan yang berlaku dengan senang hati, untuk malamnya nanti dimasukkan ke dalam buku catatan. Sepuluh tahun dari sekarang kita akan baca kuat-kuat dan gelakkan semuanya bersama-sama. Saling menepuk bahu si dia sambil berkata, 'macam tak percaya!'.

HA-HA-HA. (Ok, ini sebuah gelak yang sangat denial)

No comments: