Thursday, July 09, 2015

Buku kosong

Kadang-kadang kita bertanya lagi
Kenapa takdir memilih kita
Kenapa tidak orang lain

Dan lagi
Dan lagi
Dan lagi

Dia yang suka bercerita
Dia yang suka menunjuk cara
Tentang perempuan
Tentang kehidupan
Tentang masa depan

Ketika dia pergi
Semua soalan menjadi tergantung
Buku tulis kosong
Tiada cerita baru
Hari hari memandang langit
Melihat entah apa
Menunggu entah siapa
Terbaring seperti mati

***

Sayang,
Peluklah air matamu
Jangan dilihat orang
Biar malam mengubatmu
Biar malaikat membawamu
Bermimpi bertemu yang dirindu

Jangan bersedih sayang,
Bukankah cerita;
andai terlalu sempurna
Tidak menarik dibaca?

Ingatkah akan nabi Zakaria
Berapa lamanya dia memohon
Sedang usianya sudah tua
Uban di kepala
Zuriat belum jua tiba
Selama itu, sayang
Selama itulah
Sabar tak mengenal batas

***

Tapi mak,
Tiada orang lagi mahu bercerita itu ini
Dinding pun tahu rumah ini sepi
Entahlah, rasa bertakung

***

Tak apa,
Buatlah sebanyaknya kebaikan
Apa apa yang mampu
Cerita mak sudah banyak
Sudah habis pun
Sekarang sayang,
masa untuk menjalin cerita sendiri
Untuk nantinya dikisahkan pada yang lain
Anak-anak dan cucu mak, mungkin :)

***

Dia mahu memulakan cerita baru,
Tapi dengan apa?
Tuhan.







No comments: